ISBD View

Gusni Saat

Urbanisasi dan Stratifikasi Sosial di Kalangan Sama-Bajau di Sabah, Malaysia

Di Sabah Sama-Bajau asalnya masyaraakat maritim, yang hidup berasaskan nelayan tradisional. Transisi sosial Sama-Bajau lebih mengarah ke bandar, menyebabkan kini kira-kira 50%warganya tinggal di bandar, khususnya di Kota Kinabalu, Semporna dan Sandakan. Memandangkan di Malaysia, bandar dianggap sebagai pusat dan urbanisasi sebagai proses pembangunan negara dan masyarakat, maka persoalan urbanisasi menjadi objek kajian ini. Kajian ini menjawab dua persoalan utama: pertama, apakah corak transisi Sama-Bajau ke sektor sosio-ekonomi bandar?; kedua, apakah faktor-faktor yang mempengaruhi corak transisi tersebut? Dari segi metodologi, kajian ini menggunakan dua pendekatan, iaitu kuantitatif dan kualitatif melalui penggunaan tiga kaedah pengutipan data: survei 100 isirumah; survei sejarah hayat 10 individu; dan interviu lisan lapan orang individu yang berwibawa untuk mendapat maklumat yang diperlukan. Data yang diperolehi termasuklah aspek: pekerjaan; pemilikan aset; penggunaan tanah dan pendapatan; serta jaringan sosial dan politik, yang semuanya dianalisis secara kuantitatif dan kualitatif. Dari segi kerangka teori, kajian menggunakan kerangka struktural-mentalis, yang menekankan aspek hubungan dialektikal di antara struktural dengan aspek mentalis. Interaksi struktur dengan mentalis individu mempengaruhi kapasiti sosial individu dan kelompok, yang seterusnya menggerakkan perubahan sosialnya. Berdasarkan penemuan dalam kajian ini, ia juga membentuk suatu model stratifikasi sosial yang sesuai dengan masyarakat Sama-Bajau di Sabah yang terbahagi kepada tiga strata utama iaitu rendah, sederhana dan tinggi, yang seterusnya dipecahkan kepada enam substrata, iaitu; miskin dan rendah; sederhana dan sederhana tinggi; serta tinggi dan sangat tinggi. Faktor pendapatan dan aset dijadikan ukuran utama stratifikasi. Keupayaan individu dalam setiap kumpulan stratifikasi sosial Sama-Bajau untuk mengubah status sosialnya secara menegak bergantung kepada gabungan pelbagai faktor. Faktor-faktor itu ialah pendidikan; pemilikan aset; penggunaan tanah; dan kewujudan jaringan politik dan sosial. Faktor yang mana lebih berpengaruh adalah berbeza bergantung kepada strata dan individu masing-masing. Kajian ini menunjukkan kerangka struktural -mentalis dapat dijadikan alat kajian dan analisis yang berguna bagi memahami sesuatu persoalan tentang fenomena urbanisasi dan impaknya ke atas mobiliti sosial. Penemuan kajian ini pula adalah suatu sumbangan kepada korpus ilmu mengenai masyarakat Sama-Bajau, kepada pemahaman mengenai urbanisasi dalam proses pemodenan Malaysia, dan kepada proses stratifikasi sosial dalam masyarakat membangun secara umum.

This site is powered by KOHA software.
Installed and configured by Division of Information System and Technology & Journal Management and Binding Division ,Library of Universiti Kebangsaan Malaysia
Tel : +603 8921 5844 Faks : +603 8925 6067 E-mail : hafiz_az@ukm.my. Build and maintain by PTSL