ISBD View

Au Yong Geok Lian

Kerja, Wang, Kuasa dan Keseksualan dalam Hubungan Konjugal Masyarakat Moden Kelas Menengah Malaysia

Tesis ini bertujuan untuk mengkaji corak dan hubungan gender, iaitu corak dan hubungan kuasa antara lelaki dengan wanita dalam masyarakat Malaysia. Secara khusunya, pengkaji meneliti hubungan konjugal suami isteri dalam kehidupan harian mereka dan mengkaji hubungan konjugal yang dinamik ini antara domain domestik dan domain publik. Teori utama yang digunakan ialah teori kapitalis patriarki Zillah Einsenstein dan teori dualistik Sylvia Walby. Hubungan konjugal yang dinamik ini dilihat dari segi setakat mana struktur kapitalis dan ideologi patriarki saling mempengaruhi antara satu sama lain dalam kedua-dua domain tersebut. Bidang kajian adalah gender dalam sosiologi dan antropologi. Ini bererti mengkaji gender dalam konteks hakikat masyarakat dan interprestasi aktor sosial terhadap kelakuan dan hubungan sosial yang terjalin antara satu sama lain. Pendekatan mikro digunakan untuk mendalami persoalan utama dalam kajian. Antaranya ialah persoalan kerja, wang, membuat keputusan dalam isi rumah, konsep pencari nafkah dan ketua isi rumah, pembahagian tugas kerja domestik dan keseksualan informan. Kajian ini tidak bersifat 'representatif' kerana ia satu usaha 'penerokaan' sahaja. Metodologi kajian tertumpu kepada kaedah kualitatif (temubual dan pemerhatian) di samping kaedah kuantitatif (soal selidik). Sampel kajian pula terdiri daripada tiga puluh informan yang tinggal dalam keluarga kelas menengah Lembah Kelang (iaitu lima belas informan lelaki dan perempuan dan lima belas informan Melayu dan Cina). Pemilihan sampel dilakukan sedemikian bertujuan membuat perbandingan antara dua budaya yang berbeza dan antara budaya lelaki dengan perempuan. Daripada penemuan kajian, didapati teori dualistik Sylvia Walby lebih sesuai digunakan dalam kajian ini, kerana sifat individualistik ideologi patriarki kadang-kala lebih dominan mempengaruhi pemikiran kelakuan informan walaupun terdapat perubahan besar dalam sistem kapitalis. Namun begitu, dua teori tersebut masih tidak mencukupi untuk menerangkan kedinamikan hubungan konjugal informan dalam konteks masyarakat moden Malaysia. Faktor-faktor lain seperti taraf pendidikan, kelas dan terutamanya pengaruh agama Islam harus diambil kira untuk mengkaji pengaruh dan perkaitan mereka ke atas budaya patriaki yang sedia ada.

This site is powered by KOHA software.
Installed and configured by Division of Information System and Technology & Journal Management and Binding Division ,Library of Universiti Kebangsaan Malaysia
Tel : +603 8921 5844 Faks : +603 8925 6067 E-mail : hafiz_az@ukm.my. Build and maintain by PTSL