ISBD View

Foo Lai-Reen Joanne

Pelaburan Langsung Teknologi Tinggi Jepun di Malaysia

Tujuan tesis ini adalah: Pertama, mengkaji semula faktor-faktor yang mempengaruhi pelaburan langsung asing (PLA) Jepun di Malaysia. Kedua, Mengkaji dan meneliti faktor-faktor yang mempengaruhi PLA Jepun yang berteknologi sederhana tinggi dan tinggi seperti industri elektrik dan elektronik, industri kimia, industri alat pengangkutan, industri pembuatan mesin dan syarikat-syarikat Jepun yang memperolehi status Koridir Raya Multimedia (MSC). Syarikat-syarikat Jepun bertaraf MSC yang dikaji kebanyakan daripadanya merupakan syarikat yang terlibat dalam bidang telekomunikasi, integrasi sistem, aplikasi khusus atau kejuruteraan dan pembangunan perisisan. Ketiga, kajian ini juga cuba menilai keberkesanan dasar negara dan pentadbiran kerajaan yang berkaitan dengan PLA melalui tinjauan yang dilakukan ke atas sampel firma-firma Jepun di negeri Selangor. Secara umumnya, berdasarkan kajian empirik lepas, didapati bahawa faktor-faktor utama yang mempengaruhi kemasukan pelaburan langsung Jepun adalah faktor pasaran, faktor kos buruh dan tidak kurang pentingnya faktor galakan kerajaan. Melalui kajian kertas soal selidik, didapati bahawa antara faktor yang paling penting dalam mempengaruhi pelaburan teknologitinggi Jepun di Malaysia pula adalah faktor pasaran, faktor kestabilan politik dan faktor galakan atau insentif kerajaan. Berbeza dengan kajian empirik lepas adalah faktor buruh tidak begitu penting dalam kajian ini iaitu dari segi kosnya. Di antara faktor yang kurang penting kepada pelabur Jepun berdasarkan pilihan yang diberikan dalam tinjauan adalah faktor sosio-budaya dalam negara dan juga faktor tolakan dari negara Jepun itu sendiri. Oleh kerana Malaysia telah hilang faedah berbandingnya dalam industri-industri yang melibatkan bekalan buruh yang murah dan ramai, maka faktor buruh yang kurang mahir yang murah tidak lagi dianggap sebagai salah satu faktor yang paling penting dalam keputusan pelabur jepun untuk melabur di Malaysia. Malah, sebahagian besar daripada firma yang dikaji menyatakan bahawa mereka tidak akan melabur di Malaysia lagi akibat masalah bekalan buruh dan pasaran domestik yang kecil secara relatifnya. Tambahan lagi, ada beberapa firma Jepun yang menyatakan bahawa mereka akan memindahkan pengeluarannya ke negara China yang mempunyai bekalan buruh yang murah dan ramai serta pasaran domestik yang amat luas. Terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan oleh negara Malaysia untuk meningkatkan daya saingannya dan mengubah imej negara daripada negara dengan bekalan buruh kurang mahir yang murah kepada negara yang bergerak selaras dengan perkembangan teknologi dan globalisasi dengan bekalan buruh yang mahir dan kualiti yang lebih tinggi. Di antara langkah yang boleh diambil adalah pembaikan sistem pendidikan, mewujudkan lebih banyak latihan, menggalakkan projek-projek penyelidikan dan pembangunan.

This site is powered by KOHA software.
Installed and configured by Division of Information System and Technology & Journal Management and Binding Division ,Library of Universiti Kebangsaan Malaysia
Tel : +603 8921 5844 Faks : +603 8925 6067 E-mail : hafiz_az@ukm.my. Build and maintain by PTSL