ISBD View
Kho Suan Gaik
Latihan dan Pembangunan: Membentuk Pekerja Mahir di Industri Perkilangan
Tesis ini adalah satu kajian sosialogikal mengenai proses pembentukan pekerja mahir dalam industri perkilangan Malaysia. Objektif kajian tertumpu kepada peranan empat pelaku dalam proses tersebut iaitu Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), majikan, penyedia latihan swasta dan pekerja. Sampel kajian terdiri daripada 10 majikan dan 200 pekerja pengeluaran. Sampel majikan dipilih dari kalangan 30 kilang pengeluaran yang terletak di kawassan perindustrian Selangor dan Kuala Lumpur (Lembah Klang). Temu bual yang mendalam (in-depth) dan bersifat kualitatif telah dilakukan dengan pegawai-pegawai kilang berjawatan pengurus serta eksekutif. Manakala 123 soal selidik telah berjaya diperoleh daripada 200 orang pekerja pengeluaran berjawatan penyelia dan ke bawah. Pendekatan yang bersifat eklektik didapati sesuai untuk mengamati dan mengkaji industri perkilangan ini. Dengan itu, gabungan teori pembelajaran dan teori-teori mengenai kerja dan budaya kerja dalam sosiologi industri telah digunakan untuk memandu kajian ini. Fokus analisis kajian adalah terhadap peranan institusional PSMB dalam usahanya melahirkan pekerja mahir di sektor swasta dengan menggalakkan latihan dan pembangunan pekerja. Keduanya dikaji peranan majikan dan penyedia latihan swasta dalam membentuk pekerja mahir sebelum dan selepas Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta PSMB 2001) dilaksanakan oleh PSMB. Ketiganya dinilai persepsi pekerja terhadap latihan, juga dilihat hubung kait di antara pengaruh pihak majikan dengan kesedaran pekerja dalam mengikuti latihan. Dikaji hubung kait di antara taraf pendidikan, pengalaman kerja dan jawatan pekerja dengan jenis latihan yang dijalaninya. Dapatan kajian menunjukkan PSMB berjaya meningkatkan kadar latihan pekerja di sektor swasta tetapi kadar peningkatannya tidak begitu menonjol. Didapati peranan majikan melatih pekerjanya telah berubah selepas pengenalan Akta PSMB 2001 yakni keputusan memilih jenis latihan dan lokasi latihan kini dipengaruhi oleh PSMB. Pengenalan AKta PSMB 2001 didapati telah membantu penyedia latihan swasta memainkan peranan yang lebih aktif dalam melahirkan pekerja mahir berbanding dengan sebelumnya. Di kalangan pekerja telah dikenal pasti bahawa faktor seperti iltizam pihak atasan dan keprihatinan pihak penyelaras program latihan dalam membangunkan pekerja mempengaruhi kesedaran pekerja terhadap latihan dan pembangunan diri mereka. Sementara taraf pendidikan, pengalaman kerja dan jawatan mempengaruhi jenis latihan yang dijalani oleh pekerja. Pada keseluruhannya pekerja mahir yang terbentuk ini hanya dilatih khusus untuk keperluan kerjanya dan cara sebegini menyebabkan pekerja agak kaku dalam ekabidang sahaja. Lalu, untuk membolehkan pekerja lebih luwes dibentuk, maka disarankan agar dibangunkan pelbagai kecekapan (multiple competencies) pekerja. Pekerja luwes yang bakal dihasilkn pastinya akan lebih berupaya menghadapi sebarang perubahan dinamik dalam era globalisasi kini.