No physical items for this record
Selama 32 tahun rejim Orde Baru berkuasa dan sistem politik autoritarian bertahan (196-1997) di Indonesia, pelbagai institusi diresapi dan terkongkong oleh ciri-ciri autoritarianisme atau sentralisasi yang terpusat pada seorang presiden. Sejak 1998, walaupun rejim autoriter Orde Baru secara rasmi tamat, digantikan sistem demokrasi dan desentralisasi, autoritarianisme masih dikekalkan yang dalam praktisnya oleh lembaga Otorita Batam. Ini menunjukkan bahawa walaupun desentralisasi berlaku namun sentralisasi masih lagi bertahan dan bahkan semakin kukuh. Berdasarkan permasalahan tersebut, kajian ini memfokuskan pada empat objektif iaitu, pertama menganalisis pengaruh Reformasi dan Desentralisasi serta Otonomi Daerah terhadap kewujudan Otorita Batam yang dikuasai oleh Pemerintah Pusat dari segi desentralisasi dan sentralisasi. Kedua, mengkaji faktor-faktor yang menyumbang terhadap peningkatan kuasa pusat melalui Otoria Batam selepas pelaksanaan Desentralisasi. Ketiga, menganalisis dan mengenalpasti aktor dan faktor yang menyokong dan ikut mempertahankan dasar kewujudan dan peningkatan kuasa Otorita Batam walaupun berlaku Desentralisasi dan Reformasi Perlembagaan. Keempat, mengemukakan satu kerangka analisis yang sesuai bagi pemahaman terhadap fenomena peningkatan kuasa pusat dalam era desentralisasi. Kajian ini menggunakan dua teori iaitu teori ekonomi politik dan teori politik hukum untuk dijadikan kerangka pembimbing. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif di mana kaedah pengumpulan data dilakukan melalui temubual mendalam dengan informan-informan utama serta kaedah dokumentasi. Hasil kajian mendapati bahawa, pertama pada era Reformasi status Otorita Batam semakin diperkuat walaupun Pemerintah Kota wujud dan terdapat usaha pengukuhannya. Pemerintah Kota merupakan hasil pelaksanaan Desentralisasi, sementara kelangsungan dan peneguhan Otorita Batam adalah sebahagian dari sentralisasi kuasa pusat. Kedua, walaupun berlangsung Reformasi dan undang-undang yang diluluskan parlimen tentang Desentralisasi terus dikuatkuasakan, pada masa bersamaan Keputusan Presiden tetap sahaja diterbitkan. Kontradiksi ini menunjukkan bahawa kwujudan Otorita Batam semakin kukuh dan sekaligus bukti ada pihak-pihak yang menentang desentralisasi dan ingin mengekalkan sentralisasi. Ketiga, terdapat aktor-aktor dalam bentuk kelompok strategik yang bertahan di Pusat dan di Pulau Batam yang mahu mengekalkan Otorita Batam dalam acuan lama autoriter. Walaupun wujud Mahkamah Perlembagaan (MK) dan status Otorita Batam boleh dirujuk untuk membuat Semakan Kehakiman, upaya ini tetap tidak dilaksanakan. Tesis ini merumuskan bahwa Reformasi dan proses pendemokrasian yang berlangsung di Indonesia melalui jalan yang berliku-liku juga belum tuntas. Dengan mengekalkan Otorita Batam dalam bentuk sediakala, ia membuktikan bahawa Reformasi Perlembagaan dan Hukum tidak berkuatkuasa sepenuhnya di Indonesia khususnya di Pulau Batam. Dari segi ilmu, kajian empirikal dan literatur dalam tesis menunjukkan perlunya satu kerangka teori yang menggabungkan teori ekonomi politik dengan teori politik hukum sebagai kerangka yang sesuai bagi memahami fenomena unik sebegini.
This site is powered by KOHA software.Installed and configured by Division of Information System and Technology & Journal Management and Binding Division ,Library of Universiti Kebangsaan Malaysia Tel : +603 8921 5844 Faks : +603 8925 6067 E-mail : hafiz_az@ukm.my. Build and maintain by PTSL
There are no comments for this item.