Struktur Modal, Strategi Daya Saing Perniagaan dan Prestasi Syarikat Enterprise 50 (E50)

by Asmawi Noor bin Saarani
Normal View MARC View ISBD View
Tags from this library:
No tags from this library for this title.
Log in to add tags.

Kajian ini memberi tumpuan kepada isu struktur modal dan strategi daya saing syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Enterprise 50 (E50). E50 adalah program anugerah tahunan, inisiatif kerajaan bagi mengiktiraf 50 syarikat PKS yang cemerlang dan berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Struktur modal merujuk kepada pembiayaan kewangan dan komposisi di antara hutang dan ekuiti syarikat, manakala strategi daya saing merujuk kepada pendekatan perniagaan syarikat untuk mengekalkan posisi dalam pasaran. Walaupun sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada 28.7% (tahun 2003) kepada 31.4% (tahun 2010), sumbangan ini masih rendah jika dibandingkan dengan negara penanda aras terpilih di rantau Asia Pasifik seperti Jepun (55%); Korea Selatan (49%); Hong Kong (49%); dan New Zealand (40%). Kajian terdahulu menunjukkan bahawa isu modal dan daya saing merupakan isu utama pembangunan PKS di Malaysia. Kajian ini mempunyai lima objektif : (1) menganalisis faktor-faktor yang menentukan struktur modal PKS E50 di Malaysia; (2) menentukan pengaruh struktur modal ke atas prestasi; (3) menaksir kesan struktur modal ke atas strategi daya saing; (4) menilai pengaruh strategi daya saing ke atas prestasi; dan (5) menilai hubungan tidak langsung di antara struktur modal dan prestasi melalui strategi daya saing. Reka bentuk kajian ini adalah kaedah pelbagai dengan kaedah kuantitatif sebagai teras utama dan kaedah kualitatif sebagai pelengkap. Melalui kaedah kuantitif, 15 hipotesis dibangunkan dan diuji meliputi lima objektif kajian yang disenaraikan. Data sekunder kewangan 285 syarikat PKS E50 bagi lapan tahun (2004 hingga 2011), dianalisis menggunakan kaedah Pemodelan Persamaan Struktur (Structural Equation Modelling-SEM) berasaskan varians atau lebih dikenali sebagai Partial Least Square (PLS-SEM). Sebagai tambahan, analisis katakunci teks ke atas maklumat 54 syarikat yang diperoleh melalui segmen kisah kejayaan dalam Laporan Tahunan Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan bagi tahun 2006-2013 diteliti. Kajian ini mendapati, struktur modal PKS E50 dipengaruhi oleh faktor: (1) ketaraan aset; (2) perlindungan cukai bukan hutang; (3) kecairan; (4) pertumbuhan; (5) jenis industri; dan (6) umur syarikat. Kajian ini juga mendapati terdapat hubungan yang signifikan di antara: (1) struktur modal dan prestasi; (2) struktur modal dan strategi daya saing; dan (3) struktur modal dan prestasi. Bagaimanapun hubungan tidak langsung di antara struktur modal dan prestasi melalui strategi daya saing kepimpinan kos didapati tidak signifikan. Sebaliknya, strategi daya saing pembezaan produk didapati bertindak sebagai pemboleh ubah perantara di antara struktur modal dan prestasi. Sumbangan kajian ini dari aspek korpus ilmu boleh dilihat dalam bidang kewangan dan pengurusan strategik. Hasil kajian boleh digunakan oleh penggubal dasar sebagai pertimbangan dalam memahami pembangunan PKS di Malaysia terutama berkaitan kewangan dan strategi.

There are no comments for this item.

Log in to your account to post a comment.

This site is powered by KOHA software.
Installed and configured by Division of Information System and Technology & Journal Management and Binding Division ,Library of Universiti Kebangsaan Malaysia
Tel : +603 8921 5844 Faks : +603 8925 6067 E-mail : hafiz_az@ukm.my. Build and maintain by PTSL