No physical items for this record
Keputusan Iran, terutamanya di bawah kepimpinan Ahmadinejad untuk mengaktifkan semula pembangunan program teknologi nuklear Iran menyebabkan Amerika Syarikat mendakwa Iran cuba mencipta senjata nuklear. Oleh itu, Amerika Syarikat mendesak agar Iran menamatkan program pembangunan teknologi nuklearnya. Walaupun begitu, Amerika Syarikat tidak mengambil tindakan yang sama ke atas negara-negara yang disahkan memiliki senjata nuklear, seperti India, Pakistan, mahupun Israel, iaitu sekutu kuat Amerika Syarikat di rantau Timur Tengah. Persoalannya mengapakah Amerika Syarikat mendesak agar Iran menamatkan program pembangunan teknologi nuklearnya walaupun Iran telah mengumumkkan ia dibangunkan untuk pembangunan program tenaga, bukan untuk senjata nuklear. Dengan menggunakan teori neorealisme, kajian ini menghujahkan bahawa tindakan Amerika Syarikat terhadap Iran adalah semata-mata kerana ia mempunyai kepentingan strategik dan ekonomi di rantau Timur Tengah. Kajian ini mempunyai tiga objektif, iaitu pertama untuk menganalisis isu nuklear Iran sebagai ancaman terhadap kepentingan Amerika Syarikat di Timur Tengah, dan isu nuklear Iran. Kedua, untuk mengenalpasti strategi Iran dalam usahanya untuk mengukuhkan pengaruhnya di rantau Timur Tengah, mengenalpasti strategi hegemoni AS di rantau tersebut dan pertembungan dengan dasar luar Iran di bawah kepimpinan Mahmoud Ahmadinejad. Objektif terakhir ialah, untuk menganalisis kepentingan strategik dan ekonomi Amerika Syarikat di Timur Tengah berhubung isu nuklear Iran. Untuk mencapai objektif kajian ini, data primer dan data sekunder telah dikumpulkan. Seterusnya pendekatan deskriptif kualitatif dan analitikal digunakan bagi mengenalpasti kepentingan Amerika Syarikat di Timur Tengah. Temu bual yang merupakan sebahagian daripada data kajian ini dijalankan secara berstruktur dan mendalam ke atas ahli akademik, pembuat dasar, dan rakyat Iran yang berada di Malaysia. Data juga dikumpulkan daripada kajian kepustakaan, seperti buku, monograf, jurnal, tesis, laporan, dan laman sesawang yang berautoriti. Dapatan kajian ini mendapati bahawa isu nuklear Iran berkaitrapat dengan kepentingan Amerika Syarikat di rantau Timur Tengah. Dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa tindakan Amerika Syarikat yang berkeras mendesak Iran agar menamatkan program teknologi nuklearnya berdasarkan dua kepeningan utama. Pertama, ia berkaitrapat dengan kepentingan strategik Amerika Syarikat, iaitu untuk mengekang pengaruh China sebagai pesaing Amerika Syarikat di rantau, menghalang Iran dari meluaskan pengaruhnya di Timur Tengah, memberikan perlindungan ketenteraan terhadap negara-negara Arab pengeluar minyak di Teluk Parsi, dan melindungi Israel sebagai sekutu kuat Amerika Syarikat. Kedua, ia berkaitan dengan kepentingan ekonomi, iaitu untuk menguasai sumber minyak di rantau Timur Tengah dan untuk mendapatkan keuntungan daripada penjualan senjata di Rantau tersebut. Secara khususnya kajian ini menyumbang kepada khazanah ilmu wacana politik Timur Tengah dan umumnya mengenai isu keselamatan dan teori hubungan antarabangsa.
This site is powered by KOHA software.Installed and configured by Division of Information System and Technology & Journal Management and Binding Division ,Library of Universiti Kebangsaan Malaysia Tel : +603 8921 5844 Faks : +603 8925 6067 E-mail : hafiz_az@ukm.my. Build and maintain by PTSL
There are no comments for this item.