No physical items for this record
Dasar pendidikan percuma di Sulawesi Selatan, Indonesia dimulakan pada tahun 2008 oleh Gabenur Syahril Yasin Limpo apabila beliau memenangi pilihan raya provinsi itu. Dengan menggunakan perspektif sosiologi pendidikan dan pembangunan, kajian ini cuba menghuraikan tiga objektif iaitu (i) faktor-faktor dan proses penggubalan dasar pendidikan percuma oleh pemerintah Sulawesi Selatan; (ii) mengenal pasti cabaran-cabaran yang dihadapinya untuk menjayakan dasar pendidikan percuma; dan (iii) menganalisis impak pelaksanaan dasar ini ke atas pelajar, ibu bapa dan guru. Teori pokok yang digunakan ialah teori dasar awam berkaitan penggubalan, pelaksanaan dan penilaian dasar. Kedua-dua pendekatan kuantitatif dan kualitatif digunakan sebagai kaedah kajian. Kajian ini memilih tiga buah sekolah dari tiga kabupaten/ kota iaitu SMP 1 Sunggumunasa di Kabupaten Gowa, SMP 7 Makassar di Kota Makassar, dan SMP 2 Maros di Kabupaten Maros untuk kajian kes. Data primer diperolehi melalui soal selidik terhadap 135 pelajar dan 135 ibu bapa yang diambil dari ketiga-tiga sekolah tersebut; temu bual mendalam terhadap 18 informan utama pada peringkat Provinsi, Kabupaten dan sekolah; serta pemerhatian dalam bilik darjah. Data Sekunder diperolehi melalui penelitian terhadap dokumen dasar serta undang-undang dan peraturan mengenai pendidikan; dokumen kewangan; dan tinjauan literatur berupa teori dan konsep pendidikan dan oembangunan serta kajian-kajian lepas mengenai dasar pendidikan dan pelaksanaannya khususnya di Indonesia. Kajian ini mendapati bahawa dasar pendidikan percuma diajukan oleh Gabenur Sulawesi Selatan dengan melihat keadaan nyata yang ada dalam masyarakat di mana masih ramai anak-anak yang berusia 7-12 tahun yang tidak dapat mengikuti dan menyelesaikan pendidikan di tingkat Sekolah Dasar Sembilan Tahun, dan ini disebabkan oleh faktor ekonomi dan keterbatasan kos operasional sekolah. Dasar ini dilaksanakan dengan harapan ia dapat mengurangi kadar keciciran dan berjayanya Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Sembilan Tahun melalui komitment pemerintah serta partisipasi dan kerjasama semua stakeholder dalam masyarakat. Walau bagaimanapun, kajian ini mendapati banyaknya cabaran dalam pelaksanaan dasar pendidikan percuma khususnya menyangkut masalah biaya di peringkat Kabupaten dan kota di mana pemerintah Provinsi mengalokasikan dananya 40% dan 60% harus datang dari pemerintah Kabupaten/ Kota; ada kabupaten yang tidak dapat melaksanakan kerjasama biaya sepenuhnya disebabkan beberapa faktor yang berasal dari kabupaten tersebut. Selain itu, pelaksanaan dasar pendidikan percuma juga menghadapi cabaran data base mengenai bilangan murid dan guru yang tidak lengkap dan tepat; data base ini penting untuk memastikan alokasi biaya adalah menurut angka yang sebenar di tingkat sekolah. Selain itu, sosialisasi yakni pemahaman mengenai pendidikan percuma belum menyeluruh menyentuh semua stakeholder pendidikan sehingga masih ada banyak pihak yang belum memahami dasar ini. Dari segi kesannya ke atas murid, ibu bapa dan guru, kajian ini mendapati dengan adanya dasar pendidikan percuma kadar keciciran murid dan beban orang tua berkurang, manakala prestasi pelajar siswa semakin meningkat. Kajian ini merupakan satu sumbangan penting terhadap korpus ilmu mengenai pendidikan dan pembangunan sosial di negara yang sedang membangun khususnya mengenai peranan dasar awam dalam bidang pendidikan dasar untuk meningkatkan sumber daya manusia. Selain itu, ia juga berguna bagi memberi input kepada pemerintah yang menggubal pelbagai dasar lain di bidang pendidikan baik diperingkat rendah mahupun peringkat tinggi.
This site is powered by KOHA software.Installed and configured by Division of Information System and Technology & Journal Management and Binding Division ,Library of Universiti Kebangsaan Malaysia Tel : +603 8921 5844 Faks : +603 8925 6067 E-mail : hafiz_az@ukm.my. Build and maintain by PTSL
There are no comments for this item.