No physical items for this record
Kajian ini adalah berkenaan dengan perubahan sosio-ekonomi dan budaya komuniti Kedayan di Sarawak dengan tumpuan kepada persoalan stratifikasi sosial dan identiti. Tesis ini menghujahkan bahawa peningkatan peranan pemerintah dalam pembangunan serta perluasan kuasa pasaran dalam beberapa dekad di Sarawak telah mencetuskan perubahan ke atas hubungan sosial pengeluaran masyarakat luar bandar. Perubahan ragam pengeluaran memberi kesan ke atas stratifikasi sosial yang menjadikannya lebih rencam serta mempengaruhi identiti individu dan kelompok komuniti Kedayan. Kajian ini mempunyai empat objektif: pertama, menghuraikan cara kehidupan komuniti Kedayan dalam proses perubahan ragam pengeluaran terutama dari ekonomi tradisional kepada ekonomi moden. Kedua, menganalisis faktor-faktor yang menyumbang kepada pembentukan stratifikasi sosial dalam komuniti Kedayah disebabkan oleh perubahan yang berlaku dalam ragam pengeluaran. Ketiga, menyelidik perubahan identiti dalam komuniti Kedayan disebabkan berlaku perubahan dalam struktur sosial masyarakat, dan keempat, membangun satu model bagi menghuraikan perubahan-perubahan yang berlaku akibat daripada perubahan ragam pengeluaran sesebuah komuniti. Kajian ini memanfaatkan kaedah etnografi yang disokong oleh penggunaan soal selidik ke atas 145 ketua isi rumah, temubual bersama 20 informan utama serta pemerhatian turut serta untuk mendapatkan data dari lapangan. Untuk mendalami beberapa kes, kajian ini menggunakan kaedah riwayat hidup untuk mendapatkan orientasi sejarah komuniti Kedayan. Kajian ini mendapati kemasukan modal melalui pembangunan telah menyebabkan berlakunya perubahan ragam pengeluaran yang mempengaruhi cara kehidupan masyarakat Kedayan. Hal ini disebabkan keterlibatan komuniti di dalam sistem ekonomi pasaran yang lebih luas, khasnya ekonomi pasaran tunai. Pekerjaan tradisional seperti petani sawah padi yang sebelumnya menjadi identiti ekonomi Kedayan mengalami penghakisan dan diganti dengan pekerjaan makan gaji. Peluang pendidikan di kalangan komuniti Kedayan membantu mereka mendapat pekerjaan sedemikian, dan mendorong mobiliti serta mengubah kedudukan kelas dan status sosial individu. Pendapatan dan pemilikan punca pengeluaran juga menentukan kedudukan kelas individu seperti tinggi, sederhana dan rendah manakala martabat, kuasa, ilmu, hormat dan nilai moral adalah kriteria subjektif dalam menentukan kedudukan status individu dalam masyarakat Kedayan. Dari segi identiti pula, faktor agama, bahasa, adat dan amalan kebudayaan kekal sebagai penanda identiti kolektif komuniti; manakala identiti individu terus berubah disebabkan oleh mobiliti sosial yang berlaku. Pengekalan dan kecairan identiti individu Kedayan berubah kerana dipengaruhi oleh kedudukan kelas dan status sosial individu dalam komuniti. Tesis ini juga mengemukakan kepentingan pembinaan dan pengaplikasian kerangka konsptual model ragam pengeluaran-stratifikasi-identiti dalam kajian ialah ia dapat menghuraikan fenomena di atas. Pembinaan kerangka konseptual hubungan sosial pengeluaran-startifikasi-identiti yang digunakan dalam kajian ini adalah sumbangan kepada korpus ilmu dari segi kerangka konseptual, manakala penemuan emperikal kajian khususnya aspek stratifikasi sosial dan identiti menampung kelompangan kajian mengenai Kedayan yang kurang dikaji oleh sarjana sebelum ini. Dalam konteks polisi pembangunan pula, hasil kajian ini diharap dapat membantu pihak yang berkepentingan untuk merangka polisi yang sesuai bagi pembangunan komuniti luar bandar.
This site is powered by KOHA software.Installed and configured by Division of Information System and Technology & Journal Management and Binding Division ,Library of Universiti Kebangsaan Malaysia Tel : +603 8921 5844 Faks : +603 8925 6067 E-mail : hafiz_az@ukm.my. Build and maintain by PTSL
There are no comments for this item.