No physical items for this record
Tesis ini adalah dalam bidang kajian media di Malaysia. Kajian-kajian yang ada sebelum ini lebih bertumpukan kepada kajian media arus perdana, dan tidak banyak kajian mendalam mengenai media alternatif. Dalam budaya politik Malaysia, wacana publik sebahagian besarnya turut ditentukan oleh laporan media arus perdana yang cenderung mengikut agenda kuasa hegemonik. Justeru kajian ini mencuba menelusuri wacana kontra-hegemoni yang terdapat dalam media alternatif. Kajian ini meneliti wacana kontra-hegemoni dalam kandungan Harakah, Suara PRM dan The Rocket yang dikeluarkan sepanjang bulan Julai 1998 sehingga Disember 1999, iaitu tempoh kebangkitan gerakan "reformasi" di Malaysia. Persoalan yang dikaji ialah: Wujudkah wacan kontra-hegemoni tersebut? Bagaimanakah bentuk-bentuknya? Adakah persamaan dan perbezaan bentuk wacana antara ketiga-tiga media tersebut? Skop kajian difokuskan kepada keberadaan media alternatif sebagai alat penyebaran informasi tandingan ke atas liputan media arus perdana. Kaedah yang digunakan adalah kaedah analisis kandungan kuantitatif dan kualitatif. Pendekatan teoritikalnya berpandukan kepada teori hegemoni yang diasaskan oleh Antonio Gramsci. Kajian ini mendapati bahawa wacana kontra-hegemoni memang wujud dalam kandungan ketiga-tiga media tersebut. Ianya wujud dalam tiga bentuk. Pertama, perjuangan menuntut reformasi dan pendemokrasian. Kedua, kritikan terhadap kerjaan dan parti-parti politik yang berkuasa, mahkamah, polis dan media arus perdana. Ketiga, penjelasan mengenai aktiviti parti-parti pembangkang. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan dan persamaan dalam pemilihan bentuk wacana antara ketiga-tiganya. Harakah lebih memfokuskan kepada kritikan terhadap kerajaan dan parti-parti politik yang berkuasa, mahkamah, polis dan media arus perdana. Sementara Suara PRM dan The Rocket lebih menumpukan mesejnya kepada persoalan reformasi dan tuntutan pendemokrasian. Pelbagai perbezaan politik jangka pendek antara masing-masing parti pembangkang kurang ditonjolkan dalam kandungan ketiga-tiga media tersebut. Hanya persefahaman politik sahaja yang disebarluaskan di dalamnya. Secara keseluruhan, kajian ini mengetengahkan penemuan bahawa bersamaan dengan kuatnya arus penyebaran wacana hegemonik oleh media arus perdana dalam budaya politik Malaysia, wacana kontra-hegemoni pula disebarluaskan secara berterusan oleh media alternatif. Dalam keadaan kurangnya kajian mengenai media alternatif di Malaysia, penemuan kajian ini menjadi salah satu sumbangan berharga bagi korpus kajian akademik dalam bidang media.
This site is powered by KOHA software.Installed and configured by Division of Information System and Technology & Journal Management and Binding Division ,Library of Universiti Kebangsaan Malaysia Tel : +603 8921 5844 Faks : +603 8925 6067 E-mail : hafiz_az@ukm.my. Build and maintain by PTSL
There are no comments for this item.